Demi waktu fajar;
Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi
Allah);
Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;
Dan malam, apabila ia berlalu; -
Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui
kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?
(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu
wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan
terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)
Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang
tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)
Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan
kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?
Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di
lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?
Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang
handal kukuh?
(Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela
di negeri (masing-masing).
Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana
di negeri-negeri itu.
Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka
berbagai paluan azab;
Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama
balasan akhirat)
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat),
oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan
dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus
bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan
daku!”
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan
disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta
merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”
Jangan demikian,
(sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang
yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim,
(malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya);
Dan kamu tidak
menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin;
Dan kamu sentiasa makan harta
pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),
Serta kamu pula
sayangkan harta secara tamak haloba!
Jangan sekali-kali
bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di
atasnya dan) diratakan serata-ratanya,
Dan (perintah)
Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan
perintah),
Serta
diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan
ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi
kepadanya?
Ia akan berkata:
“Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di
sini)!”
Maka pada hari itu
tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah.
Dan tiada
sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan
belengguNya.
(Setelah
menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan
menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut
dengan kata-kata): “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap
dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
“Kembalilah kepada
Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang
diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
“Serta masuklah
engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “
Author's Note:
Moga-moga aku menjadi hambaMu yang sentiasa redha dan bersyukur. Jangan jauhkan hatiku,jangan gelapkan hatiku dariMu Ya Allah. Sesungguhnya azabMu itu benar dan aku takut Ya Allah. Suburkan kecintaanku padaMu Ya Rahman Ya Rahim.